ALBACETE 0 BARCELONA B 0

Pasukan Barcelona B akan bermain di peringkat ketiga liga Sepanyol musim depan selepas tersingkir daripada LaLiga 123.


Keputusan seri 0-0 ketika bertandang ke tempat lawan, Albacete, awal pagi tadi menyekat hasrat pasukan kendalian Francesc Xavier Garcia Pimienta itu biarpun saingan masih berbaki satu perlawanan.

Garcia Pimienta dilantik sebagai ketua jurulatih pada April lalu susulan pemecatan Gerard Lopez, namun dia hanya sempat meraih dua kemenangan daripada lima kemungkinan.

Perkembangan itu merupakan tamparan pahit terhadap prestij Barca dan hadir 24 jam selepas pemenang LaLiga dan Copa del Rey itu menyaksikan pesaing utama, Real Madrid, mengangkat trofi Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Garcia Pimienta dijangka akan tetap mengemudi Barcelona B dalam Divisyen Segunda B musim depan selain akan menitikberatkan produk La Masia dalam usaha untuk mengembalikan pasukan B ke peringkat kedua.