Ronald Koeman tidak berhasrat untuk merehatkan Lionel Messi dan Frenkie de Jong menjelang pertembungan 'El Clasico' hujung minggu ini biarpun kedua-dua pemain itu berdepan penggantungan.

Barca berusaha untuk melanjutkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah dalam LaLiga apabila menyambut kunjungan Real Valladolid ke Camp Nou.

Messi dan De Jong akan dipertaruhkan untuk perlawanan awal pagi esok itu tatkala gergasi Catalan tersebut berusaha untuk menambah tekanan kepada pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, yang berkelebihan empat mata dalam perjalanan ke Sevilla.

Kedua-dua pemain utamanya itu berisiko digantung ketika berdepan musuh ketat, Real Madrid, memandangkan masing-masing sudah mengutip empat kad kuning musim ini.

Namun, Koeman enggan mengendahkan faktor itu ketika berhitung dengan Valladolid.

"Kami sedar tinggal satu kad kuning lagi untuk kedua-dua pemain ini digantung tetapi ini bukan masanya untuk merehatkan pemain atas alasan kad atau kecergasan," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan itu.

"Kami memiliki baki 10 perlawanan lagi. Memang akan ada risiko tetapi langkah yang terbaik adalah dengan menerapkan pasukan yang saya rasa mampu memenangi perlawanan."



Messi terlibat dalam 23 gol liga -- 16 gol dan tujuh bantuan jaringan -- terbanyak dalam kalangan pemain lima liga teratas Eropah.

Bintang Argentina itu terbabit menghasilkan lapan gol dalam empat perlawanan terakhir LaLiga menentang Real Valladolid -- empat gol dan empat bantuan jaringan.

Sentuhannya itu membantu Barca meraih 13 kemenangan dalam 14 pertemuan LaLiga dengan Valladolid kecuali kekalahan 0-1 di tempat sendiri pada Mac 2014.

Di sebalik pasukan bimbingan Sergio Gonzalez itu hanya menang sekali daripada 11 perlawanan terakhir liga, Koeman sama sekali tidak memandang ringan terhadap kemampuan lawan.

"Anda harus bersiap-sedia, anda tidak boleh menganggap ia akan menjadi satu perlawanan yang mudah," katanya.

"Kami harus mempamerkan permainan yang bertenaga dengan rentak dan kawalan menarik.

"Kami harus kembali ke tahap sebenar. Ini mungkin bukan satu perlawanan yang bermasalah tetapi anda harus bekerja keras untuk menang."

Pengendali dari Belanda itu turut mempertimbangkan khidmat dua pertahanan, Gerard Pique, yang kembali menjalani latihan minggu lalu sejurus pulih daripada masalah lutut sementara Sergi Roberto juga sedia membuat kemunculan semula selepas dua bulan tersisih.