Keputusan seri 2-2 yang diraih Barcelona di Celta Vigo membawa pasukan Ernesto Valverde untuk menempa rekod baru sebagai pasukan paling lama tidak tertewas sejak permulaan musim LaLiga.

Peneraju itu mengharungi 33 perlawanan, memenangi 25 dan seri lapan, dalam kempen liga utama 2017-18 mereka.

Kemenangan 2-1 ke atas Valencia, Ahad lalu, menjadi perlawanan tanpa kalah ke-39 keseluruhan dalam LaLiga sejak musim lalu, melepasi rekod terbaik Real Sociedad sebelum ini, iaitu 38.

Sociedad pernah merekodkan 32 perlawanan tanpa tewas untuk satu-satu musim liga pada 1979-80 tetapi Barca berjaya mengatasi situasi cemas kad merah diraih Sergi Roberto dan beberapa ancaman gol di Balaidos bagi memperbaharui rekod yang ditetapkan kelab Basque itu.

Gol pertama LaLiga daripada Ousmane Dembele untuk Barcelona pada minit ke-36 memberikan mereka pendahuluan perlawanan tetapi Jonny Otto menyamakan kedudukan dalam masa tambahan babak pertama.

Paco Alcacer mengembalikan kelebihan pelawat sejurus selepas Lionel Messi diperkenalkan dari bangku simpanan setelah sejam bermain, namun Iago Aspas -- penyerang Sepanyol yang dijatuhkan Roberto -- menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki lapan minit.