Barcelona mencatat kerugian €481 juta (RM2.3 bilion) untuk tahun kewangan 2020-21, demikian pengumuman kelab itu sebentar tadi.

Selepas tahun yang penuh bergelora yang berakhir dengan Lionel Messi meninggalkan kelab itu berikutan kelab Catalan berkenaan tidak dapat memenuhi kontraknya, Barca meraih pendapatan €631j (RM3b). Satu angka yang jauh meleset daripada anggaran awal, €828j (RM4b).

Dengan perbelanjaan sebanyak €1.136b (RM5.4b) yang meningkat kepada €955j (RM4.6b), Barca mencatat kerugian operasi sebanyak €505j (RM2.4b) untuk kerugian bersih €555j (RM2.6b) dan kerugian selepas cukai sebanyak €481j (RM2.3b).

Blaugrana mengakui mengenai penurunan pendapatan dan ketidakmampuan membendung perbelanjaan itu tatkala dunia dilanda COVID-19.




Namun, lebih parah lagi mereka tetap rugi €390j (RM1.8b) sekalipun tanpa pandemik itu.

Menurut pengelola, Liga Profesional Kebangsaan (LFP), hutang bersih mereka kini terkumpul €680 (RM3.2b) sementara hutang bank Barca adalah €533j (RM2.5b) di sebalik €122j (RM589.5j) yang diperuntukkan untuk pelaburan dalam projek Espai Barca yang merangkumi ubah suai kemudahan kelab itu.