BARCA 0 BENFICA 0

Xavi menyeru Barcelona untuk terus menyalakan api perjuangan dalam Liga Juara-Juara (UCL) selepas seri 0-0 dengan Benfica, awal pagi tadi.


Skuad Blaugrana terlepas peluang untuk memastikan kemaraan mereka ke peringkat kalah mati itu walaupun mempamerkan prestasi dominan di Camp Nou.

Sungguhpun menjadi pengurus ke-13 berturut-turut Barca yang mengelak kekalahan dalam perlawanan sulungnya dalam kempen itu, pasukannya buntu untuk merobek gawang Benfica.

Ia keputusan tanpa jaringan kelapan yang dicatatkan Barcelona dalam 133 perlawanan UCL di tempat sendiri dan mereka hanya mengumpul dua gol daripada lima perlawanan musim ini.

Mereka kekal di tempat kedua Kumpulan E dan dua mata di depan pencabar dari Portugal itu, tetapi nasib mereka masih terumbang-ambing berikutan bakal berdepan tugas getir untuk menghadapi pendahulu Kumpulan E, Bayern Munich, dalam masa dua minggu lagi.

Xavi menegaskan pasukannya akan bertandang ke Jerman dengan mentaliti positif.

"Kami jauh lebih hebat daripada Benfica. Jika kami menjaringkan gol, kami akan bercakap tentang satu perlawanan yang bagus," kata pengurus Barca itu.

"Kami mengutip satu mata dan ia memberi makna yang sangat kecil. Kami mempunyai satu perlawanan lagi dan kami perlu pergi ke Jerman untuk menang.

"Kami mencatat satu gol dalam dua perlawanan (sejak saya mengambil alih) dan ia menerusi sepakan penalti. Jelas sekali kami perlu lebih tajam.

"Anda perlu pergi ke Munich untuk menang; kami adalah Barca."





Barca sempat bergegar gawang lawan menerusi Ronald Araujo pada minit ke-83 tetapi voli pertahanan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Begitupun, pemain antarabangsa Uruguay itu tetap berpuas hati dengan mentaliti yang dipamerkan tuan rumah, namun mengakui keputusan itu meninggalkan rasa pahit.

“Kami terlepas gol yang merupakan kunci utama untuk layak,” katanya.

“Sikap yang ditonjolkan Barca sangat bagus tetapi kami perlu lebih ampuh di bahagian pertahanan.

"Wujud rasa terkilan kerana kami mahu memenangi tiga mata di sini, di depan penyokong sendiri tetapi sekarang ini kami perlu menang di Munich."