Antonio Conte berkata masih banyak perlu diperbaiki Tottenham untuk menyaingi tahap Chelsea selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge lewat malam tadi.

Pierre-Emile Hojbjerg memadamkan jaringan pembukaan Kalidou Koulibaly buat The Blues tetapi pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu kembali berada di depan hasil penyudah Reece James.

Perlawanan dramatik itu berakhir dengan tandukan penyamaan Harry Kane pada minit ke-96 yang memacu keraian melampau Conte sebelum dia dan Tuchel dilayangkan kad merah kerana perkelahian mereka di tepi padang.

Ia susulan pertelingkahan awal di antara kedua-dua pengurus itu berkenaan jaringan Hojbjerg, di mana Tuchel berang gol itu dibenarkan walaupun Richarlison didakwa berada di posisi ofsaid.

Keputusan itu bermakna Tottenham hanya menang sekali daripada 38 perlawanan di gelanggang Chelsea dalam kesemua kejohanan (seri 13 dan kalah 24), di mana kejayaan tunggal itu adalah ketika menang 3-1 dalam perlawanan EPL pada April 2018.

Conte enggan membincangkan mengenai perkelahiannya dengan Tuchel dan sebaliknya memilih untuk bercakap mengenai kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya andai mahu mengecapi kejayaan seperti Chelsea sepanjang beberapa musim lalu.

"Ia tidak penting (mengenai perkelahian dengan Tuchel)," katanya dalam sidang media.

"Perkara paling penting adalah bola sepak dan bercakap mengenai bola sepak.

"Ia perlawanan yang mendebarkan. Perlawanan ini amat sukar buat kami Anda tahu mereka pasukan yang amat baik di sini.

"Saya perlu berlaku jujur, hari ini Chelsea bermain lebih baik berbanding kami. Berbanding musim lalu, kami melakukannya dengan lebih baik tetapi jika kami mahu memberikan masalah buat Chelsea (dalam kedudukan liga), kami perlu melakukan yang lebih baik.

"Kami boleh melakukan yang lebih baik tetapi pada masa sama, kami menjaringkan dua gol. Dalam tiga perlawanan terdahulu (menentang Chelsea), kami tidak dapat menjaringkan gol.

"Kami mendapat satu mata dan telah membuktikannya. Pada pandangan saya, pemain kami mempunyai perwatakan, personaliti dan mahu kekal berada dalam saingan. Kami boleh melakukan yang lebih baik," katanya.