Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, menganggap kebanyakan pasukan lawan akan 'naik hantu' ketika berdepan pasukannya selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut sambil beranggapan ia sebagai perkara biasa.

Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak malam tadi, JDT hampir ditimpa kekalahan pertama sejak julai 2019 sebelum bangkit di lewat permainan untuk mengikat Perak FC 2-2.

Perak mendahulu 2-0 hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, dalam setiap babak sebelum JDT bangkit mengikat kedudukan menerusi sentuhan Akhyar Rashid dan sepakan penalti lewat permainan Leandro Velazquez.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Mora berkata: "Semua orang mahu menewaskan juara. Semua orang mahu menewaskan pasukan terbaik. Semua orang mahu menewaskan pemain terbaik.

"Jadi ia perkara normal. Jika saya jurulatih pasukan lain, saya akan melakukan perkara sama ketika berdepan JDT.

"Tetapi saya akan bermain dengan adil kerana standard saya sebagai jurulatih adalah untuk berlaku adil dan bermain bola sepak.

"Tidak seperti yang beberapa pasukan lakukan, seperti malam ini, mereka banyak sekali merebahkan badan dan saya tidak boleh katakan ia sebagai permainan yang adil.

"Saya boleh katakan ia sebagai strategi yang tidak berapa baik," katanya.

Di sebalik keputusan 2-2 itu, pertemuan Perak dan JDT berlangsung panas dan penuh drama di dalam dan luar padang.

Bermula dengan tindakan pemain Perak melengahkan masa permainan, penalti kontroversi buat skuad Harimau Selatan itu turut menghangatkan lagi keadaan.

Ia disusuli dengan insiden pengadil diserang pemain sejurus perlawanan tamat sebelum menjadi lebih tegang ekoran provokasi yang dilakukan pemain kedua-dua pasukan.

Situasi itu hampir mencetuskan pergaduhan besar, mujur keadaan berjaya dikawal, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.