Pemain baru Barcelona, Paulinho, menegaskan dia akan mengubah persepsi terhadap dirinya dalam membantu meningkatkan semula reputasi Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia.

Pemain kebangsaan Brazil itu menyempurnakan perpindahan ke Nou Camp selepas beraksi selama dua musim dalam Liga Super China (CSL) bersama Guangzhou Evergrande Taobao.

Pembelian Paulinho telah mengejutkan seluruh dunia dan ramai mempersoalkan kebolehan yang dimiliki bekas pemain Tottenham itu, dengan beranggapan prestasi kemuncaknya sudah berakhir.

Tetapi pemain berusia 29 tahun itu yakin persembahan cemerlang di atas padang mampu menjawab segala kritikan yang telah ditaburkan kepadanya.

"Perkara terbaik yang mampu saya lakukan adalah mempamerkan aksi di atas padang, ia akan mengubah persepsi terhadap saya," kata Paulinho.

"Cara terbaik untuk memberikannya adalah membantu rakan sepasukan saya, melakar kejayaan bersama pasukan.

"Saya cuba bersikap matang dan tidak memikirkan kritikan yang diberikan kepada saya. Sasaran saya adalah mahu membantu Barca memenangi gelaran."