Bangkai pesawat ringan membawa Emiliano Sala yang hilang kira-kira dua minggu lalu, telah ditemui di Selat Inggeris selepas disahkan oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

David Mearns, yang mengendalikan proses pencarian persendirian untuk pesawat yang membawa Sala dan juruterbang, David Ibbotson, itu mendedahkan ia ditemui pagi semalam sambil menambah bahawa pihak keluarga kedua-duanya telah diberitahu.

AAIB mengesahkan kepada Omnisport bahawa bangkai pesawat ringan Piper Malibu itu telah dikesan dan kenyataan rasmi bakal dikeluarkan hari ini tatkala proses untuk pencarian bermula.

"Bangkai pesawat yang membawa Emiliano Sala dan juruterbang, David Ibbotson, telah ditemui pagi tadi oleh kapal mencari, FPB MORVEN," kata Mearns menerusi Twitter.

"Seperti yang dipersetujui dengan AAIB, mereka telah memindahkan kapal GEO OCEAN III ke kedudukan yang diberikan untuk mengenal pasti pesawat itu menggunakan ROV (kenderaan bawah laut dengan kawalan jauh).

"Ahli keluarga Sala dan Ibbotson telah dimaklumkan perkara itu oleh polis. AAIB akan mengeluarkan kenyataan hari ini. Segala ingatan kami hanya untuk keluarga serta rakan-rakan Sala dan Ibbotson ketika ini."

Mearns kemudian memberitahu Sky News: "Ia adalah hasil terbaik yang boleh kami harapkan buat keluarga kedua-duanya.

"Namun, mereka telah dikhabarkan satu berita yang menyedihkan, jadi sebagai tanda hormat, saya tidak akan memberi sebarang komen tentang apa yang telah berlaku."

Pencarian di dasar laut telah bermula sejak semalam melibatkan AAIB dan kapal persendirian.

Perkembangan daripada AAIB sebelum ini mendedahkan kusyen yang dipercayai daripada pesawat itu telah ditemui di pantai utara Perancis, Rabu lalu.

Ia 10 hari sejak Polis Guernsey menghentikan gerakan mencari pesawat ringan yang dinaiki oleh Sala bersama Ibbotson itu.

Pesawat itu dilaporkan hilang di Selat Inggeris ketika dalam penerbangan ke Cardiff dari Nantes pada 21 Januari lalu.

Sala, 28, baru melengkapkan perpindahan ke Cardiff City dan kembali seketika ke Perancis untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan sepasukannya di kelab Ligue 1, Nantes.

Siasatan dan proses menyelamat awal berjalan selama tiga hari tanpa menemui sebarang kesan pesawat itu sebelum pihak berkuasa membuat keputusan untuk menghentikan pencarian di situ.

Syahbandar Guernsey, Kapten David Barker, menyifatkan kebarangkalian untuk mereka terselamat adalah tipis tetapi beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi serta orang ramai menghulurkan bantuan mendapatkan dana bagi melakukan pencarian persendirian yang diketuai oleh Mearns.