Penyerang OGC Nice, Mario Balotelli, percaya dia layak menerima panggilan skuad kebangsaan Itali ketika berdepan aksi persahabatan menentang Argentina dan England.

Pemain berusia 27 tahun itu gagal menambat hati pengendali Azzurri, Luigi Di Biagio, walaupun mencatat 14 jaringan dalam 19 penampilan dalam Ligue 1 musim ini tatkala pemain muda seperti Federico Chiesa dan Patrick Cutrone mengiringi Ciro Immobile dan Lorenzo Insigne dalam senarai pilihan pengurus itu.

Di Biagio yang memegang jawatan ketua jurulatih Itali buat sementara berkata beliau akan terus memantau perkembangan Balotelli sebelum membuat keputusan untuk memanggilnya menyertai pasukan buat kali pertama selepas Piala Dunia 2014.

“Saya mengharapkannya. Saya rasa saya layak dipanggil,” kata Balotelli.

Dalam masa sama, bekas penyerang Liverpool itu mendedahkan sejak bergelar bapa, ia membantunya menjadi lebih matang sambil tidak mahu memberi sebarang komen tentang hala tuju kariernya musim depan setelah kontrak sedia ada bakal tamat pada hujung musim ini.

“Saya kini lebih matang, terima kasih kepada anak saya. Waktu untuk bertindak seperti kebudak-budakan telah tamat,” tegasnya.

“Sama ada beraksi di Perancis, England atau Itali, saya mahu tinggal di sempadan.”