Mario Balotelli adalah pemain yang "ideal" buat Napoli, kata ejennya, Mino Raiola, yang menggesa pendahulu Serie A berkenaan menandatangani bintang Nice itu.

Penyerang kelahiran Itali itu dijangka meninggalkan kelab Ligue 1 itu selepas kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang menyerlah di Perancis dengan meledak 21 gol dalam semua kejohanan musim ini, kembali menemui sentuhan dan keyakinan selepas gagal memberikan impak bersama Liverpool dan AC Milan.

Balotelli dijangka kembali ke Serie A atau Liga Perdana Inggeris dan Raiola menjemput Napoli untuk membida bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut.

"Mana-mana pasukan yang mendapatkan Balotelli secara percuma sangat berbaloi," kata Raiola.

"Jika saya bersama Napoli, saya akan mendapatkan khidmatnya, dia antara penyerang yang berkualiti. Maurizio Sarri telah membentuk skuad yang berkualiti dan Naples sangat ideal buat Balotelli.

"Balotelli amat bertenaga di atas padang, dia melakukan banyak larian untuk mencari ruang.

"Terdapat pemain-pemain yang masih ragu-ragu untuk berpindah ke kelab ini tetapi tidak buat Balotelli," ujarnya lagi.