Ejen pemain, Mino Raiola, mendedahkan penyerang Nice, Mario Balotelli, kini dalam buruan kelab seperti Borussia Dortmund dan Marseille.

Kontrak penyerang kelahiran Itali itu telah berakhir pada penghujung musim ini, dengan dia telah mencetak 15 gol dalam 23 penampilan dalam saingan Ligue 1, sekaligus membantu pasukannya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 26 tahun itu sedang berehat daripada bola sepak sebelum membuat penilaian mengenai masa depannya, dengan kekal bersama Nice merupakan salah satu pilihan untuk beraksi dalam UCL.

Tetapi Raiola menegaskan bahawa Nice perlu bersaing dengan Dortmund dan Marseille yang mahu mendapatkan khidmat bekas penyerang Manchester City itu.

"Balotelli mempercayai saya," kata Raiola.

"Saya seorang yang memilih dan dia mengetahuinya. Adakah dia akan kekal di Nice? Kita akan lihat. Dia diperlukan oleh Dortmund dan Marseille.

"Dia mempamerkan persembahan yang positif di Nice, saya pasti lebih banyak pasukan yang mahu mendapatkan tandatangannya musim panas ini."