Thibaut Courtois menyindir France Football apabila menganggap Trofi Yashin sekadar diperkenalkan bagi menenangkan penjaga gol selepas dia menduduki tangga ketujuh Ballon d'Or sambil keraguan itu turut dikongsi Iker Casillas.

Rakan sepasukan penjaga gol itu di Real Madrid, Karim Benzema, ditabalkan sebagai pemain terbaik dunia oleh penganjur tersebut dalam sebuah majlis di Paris, kelmarin.

Benzema sememangnya diperakui layak oleh Courtois sendiri selepas meledak 44 gol dalam 46 perlawanan ketika membantu Madrid menggondol LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) pada musim lalu.

Dia turut melakar dua hatrik dalam 10 jaringannya untuk menyamai rekod jaringan di peringkat kalah mati UCL.

Begitupun, Courtois yang merupakan sebahagian daripada dua kejayaan itu turut memainkan peranan penting apabila tangkas menyelamatkan sembilan percubaan berbahaya Liverpool dalam perlawanan akhir UCL.

Walaupun bintang Belgium itu mengetepikan Alisson (Liverpool) untuk pengiktirafan sebagai penjaga gol terbaik dunia, dia tetap berasakan bahawa dia sepatutnya dipilih di ranking keseluruhan yang lebih baik.

"Pertama sekali, saya ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira dengan Karim Benzema," katanya kepada Cadena SER.




"Nampaknya adalah lebih bagus dapat menjaringkan gol daripada menyelamatkannya. Ia adalah satu pertarungan yang masih perlu dimenangi. Berdasarkan logik keputusan undian, saya tidak mempunyai peluang untuk berada di kedudukan tinggi, apatah lagi untuk memenanginya.

"Saya tidak mengatakan bahawa saya semestinya memenanginya! Tetapi apabila saya memenangi LaLiga dan UCL, kemenangan pasukan saya juga disebabkan aksi menyelamat saya, sebaliknya saya sekadar menduduki tempat ketujuh. Malah, saya tidak tersenarai untuk berada di podium.

"Dalam 10 pemain teratas, tiada seorang pun dalam kalangan pertahanan. Sekurang-kurangnya tahun ini mereka mencipta trofi untuk penjaga gol terbaik."

Dalam masa sama, dia menciap ciapan Twitter bekas penjaga gol Madrid, Casillas, yang berbunyi: "Saya gembira bagi pihak Thibaut Courtois! Setakat ini dia adalah penjaga gol terbaik di dunia.

"Apa yang saya tidak gembira ialah tidak meletakkannya di atas podium Ballon d'Or. Saya masih tidak faham berdasarkan apa kriteria pemilihan mereka untuk anugerah ini."