Cristiano Ronaldo tidak lagi dapat menandingi seterunya, Lionel Messi, dalam persebutan Anugerah Ballon d'Or tahun ni selepas sekadar menduduki tangga keenam senarai pemain terbaik itu pada ketika bintang Argentina berkenaan menggondol gelaran ketujuhnya awal pagi tadi.

Ia merupakan kali pertama penyerang Portugal, Ronaldo -- yang tidak menghadiri majlis anugerah di Paris itu -- terkeluar daripada kelompok tiga terbaik sejak 2010.

Ronaldo menjaringkan 30 gol di peringkat kelab sepanjang mewakili Juventus dan Manchester United tahun ini selain menjadi pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa kategori lelaki.

Pemain berusia 36 tahun itu menamatkan perebutan edisi ini di atas dua pemain Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma dan Kylian Mbappe, selain pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, dan penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Salah dan Mbappe memiliki rekod jaringan lebih baik berbanding Ronaldo sepanjang tahun ini -- masing-masing menjaringkan 32 dan 37 gol -- tetapi menamatkan saingan di tempat kelima dan ketujuh.

Pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante, dan penyerang Real Madrid, Karim Benzema, menduduki tempat kelima dan keempat, di mana bekas rakan sepasukan Ronaldo, Benzema, menikmati tahun terbaiknya dengan menjaringkan 34 gol selain 12 bantuan jaringan buat Los Blancos dalam kesemua kejohanan.

Jorginho, yang memenangi Euro 2020 bersama Itali dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea, berhasil mengisi kelompok tiga terbaik di belakang penggempur Bayern Munich, Robert Lewandowski -- yang menduduki tempat kedua dan meraih Anugerah Penyerang Terbaik Tahunan -- dan pemenang, Messi.

Lewandowski sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi anugerah itu selepas memecahkan rekod 40 gol dalam satu musim Bundesliga yang sekian lama dipegang Gerd Muller dan menemui sasaran sebanyak 53 kali sepanjang 2021.


Senarai 10 teratas Ballon d'Or:
1. Lionel Messi (PSG dan Argentina)
2. Robert Lewandowski (Bayern Munich dan Poland)
3. Jorginho (Chelsea dan Itali)
4. Karim Benzema (Real Madrid dan Perancis)
5. N'Golo Kante (Chelsea dan Perancis)
6. Cristiano Ronaldo (Manchester United dan Portugal)
7. Mohamed Salah (Liverpool dan Mesir)
8. Kevin De Bruyne (Manchester City dan Belgium)
9. Kylian Mbappe (PSG dan Perancis)
10. Gianluigi Donnarumma (PSG dan Itali)