Jorginho percaya jika dia memenangi Ballon d'Or, ia akan menawarkan insentif buat pemain lain yang tidak kerap meledak gol dan membuktikan bahawa jaringan bukanlah satu-satunya faktor untuk memenangi anugerah itu.

Pemain tengah itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki Eropah pada Ogos lalu selepas memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Chelsea dan Euro 2020 dengan Itali.

Pemain berusia 29 tahun itu dalam senarai pendek untuk Ballon d'Or, tetapi Lionel Messi kekal sebagai pilihan dan Robert Lewandowski juga merupakan pencabar yang mantap.

Jorginho -- yang menyumbat lapan gol musim lalu -- berkata ia akan membuktikan bahawa pemburuan gol bukan faktor utama untuk muncul sebagai pemain terbaik di planet ini.

“Bukan hak saya untuk menyatakan sama ada saya perlu memenangi Ballon d’Or, tetapi ia akan menjadi insentif kepada pemain lain untuk menunjukkan bahawa bukan sahaja gol yang akan diambil kira,” kata Jorginho kepada Globo Esporte.

"Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi tetapi adalah hipokrit jika saya mengatakan tidak memikirkan soal memenanginya. Sekiranya ia berlaku baguslah tetapi jika tidak, saya tidak akan merungut.

"Saya perlu terus berpijak di bumi yang nyata dan saya fokus kepada sesuatu yang lain, saya sudah memenangi pemain terbaik Eropah tahun ini."

Jorginho juga mengesahkan dia memilih untuk tidak mewakili negara asalnya, Brazil, pada 2016 sebaliknya memilih untuk menunggu panggilan Itali selepas berpindah ke negara itu pada usia 15 tahun.

“Brazil cuba meyakinkan saya, tetapi akhirnya saya memilih Itali, jika tidak, saya pasti tidak bersyukur,” tambahnya.

"Mudah-mudahan kami memenangi Piala Dunia. UCL dan Euro tidak boleh dipandang remeh tetapi Piala Dunia mengatasi segala-galanya.

"Kami tidak akan menjadi pasukan pilihan di Qatar tetapi kami tidak boleh pandang rendah kepada lawan walaupun kami baru memenangi Euro."

Itali bakal berdepan Switzerland untuk perebutan tangga teratas Kumpulan C, kelayakan Piala Dunia, awal pagi Sabtu ini.

Mereka kini berkongsi 14 mata dengan Azzurri hanya di depan menerusi perbezaan gol.