REAL MADRID 2 LEGANES 1

Zinedine Zidane percaya Real Madrid harus tampil lebih baik lagi untuk mengatasi Bayern Munich dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara (UCL).


Los Blancos menjadi pilihan untuk mara apabila akan turun mempertahankan kelebihan 2-1 di Santiago Bernabeu, awal pagi Rabu nanti.

Juara bertahan UCL itu mengatasi lawan yang sama dalam suku akhir musim lalu tetapi memerlukan gol pada masa tambahan untuk mara.

Real turut merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Juventus di peringkat suku akhir musim ini sebelum penalti Cristiano Ronaldo menyingkirkan mereka.

Zidane, yang melakukan rombakan besar terhadap barisannya yang menundukkan Leganes 2-1 dalam kempen LaLiga malam tadi, bersemangat untuk mengelak daripada tenggelam lagi di tempat sendiri.

"Kami akan mengambil bahagian dalam perlawanan besar, saya meminta pemain supaya berjuang seperti ingin mencatat sejarah kerana kami memerlukannya untuk sampai ke final," kata Zidane kepada wartawan.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada kami ketika menentang Juventus dan pengalaman menentang Bayern tahun lalu membantu kami.

"Kami perlu beraksi dalam perlawanan yang hebat, kami perlu bermain dengan bagus dan kami akan mempersembahkan permainan terbaik kami tahun ini," katanya.

Gareth Bale turut memberi tekanan untuk menyertai kesebelasan utama sempena menghadapi Bayern apabila membuka jaringan dalam kemenangan kurang meyakinkan ke atas Leganes selepas Zidane membuat 10 pertukaran berbanding skuad yang menang di Munich.