Real Madrid kehilangan khidmat Gareth Bale untuk aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, demikian pengesahan yang diberikan ketua jurulatih, Zinedine Zidane.

Bale telah dikeluarkan dalam separuh masa kedua ketika Madrid meraih kemenangan 2-1 ke atas juara Bundesliga itu di Arena Allianz dan turut diketepikan dalam kemenangan 3-2 ke atas Sporting Gijon dalam kempen LaLiga, Sabtu lalu.

Penyerang Wales berkenaan pernah berehat selama tiga bulan akibat kecederaan buku lali musim ini selain berdepan masalah betis musim lalu.

Oleh itu, Zidane tidak bersedia untuk mengambil risiko yang tidak perlu ke atas pemain berusia 27 tahun itu.

"Gareth telah bekerja keras untuk kembali cergas dan selepas tiga bulan ditimpa kecederaan, dia kembali dan sangat teruja dapat beraksi semula," kata pengurus Perancis itu dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Tetapi dia kini sedang berdepan masalah kecil. Kami berharap ia tidak apa-apa.

"Dalam beberapa hari lagi, dia akan kembali bersama kami. Esok dia belum bersedia. Kami tidak mahu mengambil apa-apa risiko tetapi dia akan bersedia dalam beberapa hari lagi.

"Dia berminat untuk kembali secepat mungkin dan bersama kami, jadi kami akan memantaunya dari sekarang sehingga akhir musim ini."

Madrid memasuki minggu penting dalam musim ini apabila bakal berhitung dengan seteru utama, Barcelona -- di mana mereka mempunyai kelebihan tiga mata dan bermain kurang satu perlawanan -- yang boleh menjadi penentu kepada gelaran LaLiga, hujung minggu ini.

"Saya tidak tahu, saya berharap begitu," kata Zidane ketika ditanya sama ada Bale akan kembali untuk El Clasico.

"Saya harap dia boleh bersama kami. Saya tidak boleh memberikan apa-apa jaminan."