Gareth Bale menegaskan dia mahu "menjuarai lebih banyak trofi" bersama Real Madrid walaupun terdapat khabar angin yang menyatakan penyerang Wales itu bakal meninggalkan Santiago Bernabeu.

Laporan L'Equipe mencadangkan pengurus Real, Zinedine Zidane, mahu mendapatkan khidmat penyerang Monaco, Kylian Mbappe, jika kelab itu sedia melepaskan di antara Karim Benzema, Cristiano Ronaldo atau Bale.

Masa depan Ronaldo turut menjadi tanda tanya selepas terdapat spekulasi yang menyatakan dia terlibat dengan kes penipuan cukai sebanyak EURO14.7 (RM705 juta).

Presiden Los Blancos, Florentino Perez, menjelaskan bahawa kelab itu tidak mahu menjual pemenang Ballon d'Or itu dan Bale juga sering dikaitkan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyertai Manchester United.

Bagaimanapun, Bale telah mendedahkan hasratnya untuk terus memberikan komitmen kepada Real.

"Saya kini berada di tahap yang terbaik dan tidak sabar untuk memulakan musim hadapan," kata Bale.

"Saya dahagakan lebih banyak kejuaraan bersama kelab terbesar di dunia ini."