Gareth Bale percaya memenangi piala bersama negaranya, Wales, akan lebih istimewa berbanding kejayaan di peringkat kelab dengan Real Madrid.

Pemain berusia 28 tahun itu mencipta hatrik buat Wales, Khamis lalu, ketika menewaskan China 6-0 dalam perlawanan pertama Ryan Giggs selaku jurulatih.

Wales akan bertemu Uruguay dalam final Piala China, hari ini, dan Bale mengakui ia akan menjadi kemuncak kerjaya apabila meraih piala di peringkat antarabangsa.

"Untuk memenangi sebarang trofi sentiasa bagus. Tetapi bagi negara, ia lebih istimewa, ia di dalam hati dan darah kamu," kata Bale yang telah memenangi 10 trofi bersama Madrid, termasuk tiga Liga Juara-Juara Eropah dan gelaran LaLiga musim lalu .

"Kamu mahu menjadikan seluruh negara kamu bangga, jadi tidak kira kejohanan seperti sekarang, Euro atau Piala Dunia, ia selalu penting untuk memenangi trofi.

"Ia akan menjadi sangat tinggi dalam ranking. Ia akan menjadi menarik untuk mempunyai lebih banyak kejayaan dengan Wales dan kami akan cuba menikmatinya sebaik mungkin," tambahnya.

Uruguay mengalahkan Republik Czech 2-0 untuk menempah pertemuan dengan Wales di Nanning, di mana Luis Suarez menjaringkan gol antarabangsanya yang ke-50.