Bintang Real Madrid, Gareth Bale, menegaskan dia gembira bersama juara Eropah itu dan tidak mempunyai rancangan untuk keluar walaupun banyak spekulasi mengenai masa depannya.

Bale, 27, yang memenangi Liga Juara-Juara buat kali ketiga bersama Madrid, Ahad lalu, sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United pada luar musim ini.

Namun, pemain antarabangsa Wales berkenaan berkata dia komited tehadap gergasi LaLiga itu, dengan mempunyai kontrak sehingga 2022 yang ditandatangani tahun lalu.

"Saya menandatangani kontrak jangka panjang di Madrid," kata Bale.

"Keluarga saya gembira dan saya gembira juga, ya, kami akan teruskan apa yang kami lakukan. Kami memenangi trofi dan saya gembira."

Bale membuat 17 penampilan utama dalam liga untuk Madrid pada musim ini selepas menjalani pembedahan buku lali akhir tahun lalu.

Kecederaan betis turut menyaksikan dia hampir terlepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara tetapi kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam kemenangan 4-1 ke atas Juventus, Ahad lalu.

"Saya perlu pergi bercuti, berehat dan kembali dengan lebih kuat musim depan -- terutama untuk menguatkan pergelangan kaki bagi memastikan ia betul-betul pulih," kata Bale.