Tiemoue Bakayoko kembali ke AC Milan daripada Chelsea selepas sah menyertai kelab Serie A itu secara pinjaman selama dua tahun.

Pemain tengah itu pernah mewakili Rossoneri dengan melakukan 42 penampilan dalam kesemua kejohanan musim 2018-19 dan menjaringkan satu gol sewaktu di bawah bimbingan Gennarro Gattuso.

Pemain berusia 27 tahun itu turut dipinjamkan ke Itali untuk bersama Gattuso di Napoli sepanjang musim lalu.

Bagaimanapun, perancang berbangsa Perancis itu kini sah akan ke Milan untuk bersama dua lagi bekas pemain Chelsea, iaitu Fikayo Tomori dan Olivier Giroud, di San Siro.

Dia akan kekal bersama Milan, yang mendedahkan niat mereka untuk membeli pemain itu secara tetap seandainya beberapa kriteria dipenuhi, sehingga 2023.

Bakayoko tidak pernah mewakili Chelsea sejak menewaskan Manchester United dalam final Piala FA pada Mei 2018.

Dia beraksi sebanyak 43 kali sepanjang musim itu dan menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan.

Sebagai rekod, Chelsea menandatangani Bakayoko berdasarkan prestasi cemerlangnya bersama Monaco dalam musim 2016-17, di mana pasukan itu merampas kejuaraan Ligue 1 daripada Paris Saint-Germain (PSG) dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara eropah (UCL).