Pertahanan Manchester United, Eric Bailly, bakal diketepikan untuk jangka masa panjang selepas menjalani pembedahan lutut.

Pertahanan tengah berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan lutut ketika bertemu Tottenham dalam aksi pra-musim di China minggu lalu.

Ia merupakan petanda awal yang kurang baik dan Bailly berkemungkinan besar tidak akan beraksi bagi baki tahun 2019 selepas bertarung dengan masalah kecederaan lutut sejak musim lalu.

Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan perkhabaran itu selepas menyaksikan skuad kendaliannya mengatasi kelab Norway, Kristiansund, 1-0 di Oslo semalam.

"Bailly telah menjalani pembedahan dan dijangka direhatkan selama empat hingga lima bulan," katanya.

"Diharap dia akan kembali beraksi pada waktu Hari Natal."

Solskjaer turut menjelaskan anak buahnya bernasib baik meraih kemenangan kelima dalam saingan pra-musim selepas Juan Mata dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-91 sebelum memahat nama sebagai penjaring gol kemenangan United.

"Lawan kami bertahan dengan baik sepanjang permainan," kata Solskjaer kepada MUTV.

"Sukar untuk menembusi mereka. Permainan bertahan pasukan lawan sangat baik dan mereka menurunkan penjaga gol yang berkualiti. Kami akan menempuhi perlawanan seperti ini dalam saingan liga dan jaringan pada minit ke-91 itu akan dijadikan sebagai pencetus semangat kepada pasukan."

United akan turun berdepan AC Milan dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), Sabtu ini.