JERMAN 1 ENGLAND 0

Lukas Podolski berkata penampilan terakhirnya bersama Jerman "bagaikan sebuah filem hebat" selepas dia menjaringkan gol kemenangan yang menakjubkan dalam pertembungan dengan England, awal pagi tadi.


Pemain berusia 31 tahun itu tampil dalam penampilan ke-130 dan yang terakhir untuk pasukan kebangsaan menerusi jaringan menakjubkan untuk mengesahkan kemenangan 1-0 Jerman ke atas pasukan bimbingan Gareth Southgate di Signal Iduna Park.

Podolski disajikan dengan penghargaan, termasuk daripada penyokong, sebelum sepak mula perlawanan dan dia mendapat tepukan gemuruh serta dijulang seperti mana ketika pemenang anugerah Oscar, Hans Zimmer, memenanginya menerusi filem Gladiator.

Penggempur itu menyifatkan rembatan padu kaki kirinya yang menghasilkan gol kemenangan pertembungan itu sebagai kurniaan tuhan dan berkata adalah sukar untuk membayangkan salam perpisahan yang lebih baik.

"Ini seperti sebuah filem yang hebat," katanya kepada ARD. "Kami menang 1-0 dan saya menjaringkan gol.

"Saya tahu saya mempunyai kaki kiri yang dianugerahkan tuhan dan saya sentiasa boleh bergantung kepadanya. Saya bangga dengan pencapaian selama 13 tahun ini.

"Menerusi suasana di stadium, anda boleh lihat hubungan saya dengan masyarakat dari Cologne.

"Terdapat kira-kira 30,000 peminat dari Cologne di dalam stadium. Ia membuatkan anda meremang.

"Dari situ anda tahu di mana anda berada dan anda telah membawa banyak kebaikan, juga di luar padang. Itu membuatkan saya sangat bangga."

Ketua jurulatih, Joachim Low, berasakan suasana itu adalah sempurna buat pemain yang menduduki tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Jerman itu serta menjulang Piala Dunia pada 2014.

"Jaringan itu adalah tipikal daripada Poldi," katanya. "Pemain istimewa layak dengan perpisahan seperti itu. Ini adalah hebat baginya.

"Sebelum itu, kami mahu menggantikan dia tetapi pada rehat separuh masa pertama, dia memberitahu bahawa dia mahu beraksi lebih lama.

"Oleh itu, kita dapat melihat bagaimana permainan berlangsung dan ia adalah sesuatu yang bagus dia masih meneruskan permainan."