Kejayaan seorang jurulatih dalam sesebuah pasukan kadang-kala juga hasil bantuan penolongnya yang sebenarnya memainkan peranan penting di belakang tabir -- itulah peranan yang dimainkan Nenad Bacina dalam skuad B-19 negara.

Pengendali berusia 46 tahun itu sudah beberapa kali berkhidmat sebagai penolong kepada rakan senegaranya, Bojan Hodak.

Pada 2014, Bacina merupakan pembantu Hodak di Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menyaksikan Harimau Selatan menjulang kejuaraan Liga Super sulung mereka.

Pada 2016, pengendali Croatia itu membimbing Pulau Pinang dan Hodak bertindak sebagai ketua pegawai operasi pasukan.

"Kami telah bekerjasama dalam beberapa tahun terakhir ini. Bagi sesetengah pihak, ada masanya menjadi ketua jurulatih memberi tekanan yang sangat besar.

"Sebagai penolong jurulatih, anda lebih banyak bersama pasukan. Kehadiran saya di sini adalah menawarkan nasihat kepada ketua jurulatih serta memberi panduan lebih terperinci mengenai pemain," ujarnya.

Berbekalkan pengalaman selaku pemain dan jurulatih dalam saingan Liga Singapura dan Liga Malaysia, Bacina turut sinonim dengan bola sepak rantau Asia Tenggara.

Bacina turut optimis Malaysia mempunyai masa depan cerah berlandaskan pencapaian skuad B-19 dan B-23.

"Mereka sedang melakukannya dengan baik.

"Mereka bersemangat untuk memperbaiki permainan dan belajar.

"Sama ada mereka berjaya atau tidak pada masa depan belum pasti lagi tetapi mereka berada di landasan tepat.

"Kalau mereka berterusan begini, Malaysia boleh menyandarkan harapan kepada mereka," katanya lagi.