Penyerang AC Milan, Carlos Bacca, sedar akan kesilapannya berbalah dengan Vincenzo Montella selepas dikeluarkan ketika menentang Sampdoria dan menawarkan diri untuk membayar makan malam skuad itu sebagai tanda memohon maaf.

Bacca, yang meledak sembilan gol musim ini, berang selepas digantikan dengan Gianluca Lapadula ketika perlawanan berbaki 18 minit lagi dalam kekalahan 1-0 mereka di San Siro.

Pemain Colombia itu turut menunjukkan tanda protes selepas dikeluarkan dalam pertemuan dengan Pescara, Oktober lalu -- dia dikeluarkan 15 kali dalam 18 penampilan kesebelasan utama musim ini.

Biarpun dia sukar menerima situasi berkenaan, Bacca sedar tindakannya itu tetap salah.

"Ia berlaku dengan spontan apabila saya dikeluarkan dan saya marah kerana kami sedang ketinggalan 1-0," kata Bacca kepada Milan TV.

"Saya mahu kekal di atas padang dan membantu pasukan. Keputusan terletak di tangan pengurus dan saya sedang bersemangat.

"Saya sudah bercakap dengannya (Montella) dan tindakan saya adalah salah kerana saya panas baran dan marah.

"Saya memberitahu jurulatih bahawa saya telah melakukan kesilapan, saya sudah memohon maaf kepada rakan sepasukan dan akan belanja mereka makan malam.

"Saya memutuskan untuk melakukannya kerana kami adalah sebuah pasukan yang bersatu.

"Tiada sebarang perselisihan dengan jurulatih, saya menghormati pilihannya dan akan terus berusaha.

"Adalah penting untuk kami dapat bangkit segera apabila bakal berdepan Bologna (awal pagi Khamis)."

Milan kini dalam tekanan ekoran tewas rentetan empat perlawanan, tergelincir di tangga kelapan Serie A dan tersingkir daripada saingan Coppa Italia.