Walaupun dikhabarkan khidmatnya akan dikekalkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) jika mampu membawa kejayaan dalam Piala Malaysia musim ini, penolong ketua jurulatih, Azzmi Abdul Aziz, enggan terlalu memikirkan soal itu, sebaliknya fokus kepada aksi terakhir Kumpulan C, Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, 16 September ini.

Selepas mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 di Alor Setar, dia mahu memastikan tiket ke suku akhir dalam genggaman skuad Lang Merah biarpun sedar laluan sukar menanti di Kota Bharu.

"Saya hargai apa yang diucapkan Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, tetapi buat masa ini, kami memberi tumpuan penuh kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di gelanggang lawan menentang Kelantan.

"Jika Allah tetapkan itu menjadi rezeki saya, saya terima dengan tangan terbuka dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Ditanya percaturan yang bakal digunakan dalam aksi terakhir menentang Kelantan, Azzmi mahu anak buahnya terus fokus dan tidak memandang rendah kemampuan skuad kendalian Yusri Che Lah itu.

"Saya gembira apabila prestasi Kedah makin meningkat, terutama selepas mengejutkan JDT di Alor Setar, akhir bulan lepas.

"Kami akan menghadapi satu lagi aksi sukar di gelanggang lawan dan harap semua pemain terus fokus untuk mencipta kemenangan, sekali gus mara ke suku akhir."

Untuk rekod, Kedah menduduki tangga kedua Kumpulan C dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua kali seri manakala TRW berada di tangga tercorot dengan lima mata.

Kredit Foto: Mohd Zaki Osman