Pertahanan kental Kelantan, Muhammad Azwan Aripin, mengesahkan bahawa dirinya pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring sambil berdoa Liga Malaysia (Liga-M) akan disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 berakhir 14 April ini.

Kecederaan yang dialami semasa menentang Perak II dalam aksi pra musim mengakibatkannya berputih mata dan gagal membantu skuad Yusri Che Lah itu mengharungi aksi awal musim Liga Perdana musim ini.

“Alhamdulillah, rasa tidak sabar untuk kembali beraksi menguatkan barisan pertahanan bagi membantu The Red Warriors (TRW) menghabiskan baki saingan Liga Perdana.

“Sebenarnya sedih melihat rakan sepasukan berhempas-pulas mengharungi saingan awal musim sedangkan saya terpaksa berada di luar akibat kecederaan," katanya.

Pemain kelahiran Pasir Pekan berusia 24 tahun itu memberitahu dia cukup bersemangat
mengikuti modul latihan yang dibekalkan jurulatih untuk memastikan stamina dan kecergasannya berada pada tahap terbaik.

“Setiap hari saya akan luangkan masa lebih sejam (sama ada pagi atau petang) untuk
berlatih mengikut jadual yang ditetapkan sambil memberi fokus kepada pergerakan kaki dan kekuatan otot,” ulasnya.

Mengulas prestasi semasa TRW musim ini, Azwan mengganggap Kelantan perlu cepat
bangkit selepas kalah 2-1 kepada pendahulu, Terengganu FC II, di gelanggang lawan bulan
lalu.

“Kami perlu tingkatkan prestasi permainan dan elak kehilangan mata kerana sasaran utama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) adalah mahu kembali ke saingan Liga Super musim depan,” tambahnya.

Kredit Foto: Kelantan FA