Cesar Azpilicueta berpandangan kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Arsenal dan Bournemouth bakal menyaksikan Chelsea terlepas kelompok empat pasukan terbaik musim ini.

Selepas tewas 2-0 di Stadium Emirates, 19 Januari lalu, Chelsea dihukum oleh pasukan bawahan, Bournemouth 4-0, kelmarin.

Keputusan tersebut menyaksikan mereka jatuh ke tangga kelima sementara Arsenal ke tangga keempat dengan perbezaan jaringan manakala kebangkitan Manchester United merapatkan jurang dengan kelompok utama EPL.

Maurizio Sarri mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain Chelsea selama 45 minit dalam bilik persalinan selepas tewas di Stadium Vitality itu bagi meluahkan kekecewaannya terhadap persembahan hambar The Blues.

Azpilicueta berkata pemain-pemain turut berkongsi kebimbangan ketua jurulatih itu dan menyedari perubahan harus dilakukan jika mahu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

"Saingan semakin sengit. Dua minggu lalu, kami masih lagi berada dalam kedudukan yang baik, pemain Chelsea sendiri meletakkan pasukan dalam kedudukan yang bahaya.

"Kami sedang dirundung masalah apabila tercicir enam mata dalam dua perlawanan. Kami perlu bangkit meraih tiga mata esok kerana tiada lagi pilihan lain buat kami.

"Saingan masih lagi berbaki 14 perlawanan dan kami meletakkan sasaran untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

"Bolos empat jaringan ketika berdepan Bournemouth adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Selepas perlawanan itu, pemain-pemain dan pengurus telah berbincang dan kami perlu lebih konsisten kerana 10 hari lalu, kami tewas kepada Arsenal. Kami telah gagal bermain dengan baik."