Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang, melaungkan hasrat untuk meneruskan impian emasnya dalam temasya di Paris, tiga tahun lagi.

Dia dan rakan sepasukan berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom, selamat tiba di tanah air petang tadi selepas mengharungi kempen memukau di Velodrom Izu.

Lantas, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk penerjun wanita, Pandelela Rinong, petang tadi, The Pocket Rocketman menyatakan kesediaannya untuk menggalas cabaran negara dalam temasya paling berprestik dunia itu.

"Perancangan awalnya saya memang mahu teruskan sehingga Olimpik Paris 2024.

"Namun, seperti biasa selepas berakhirnya kejohanan utama, saya akan duduk berbincang semula dengan jurulatih, John Beasley, dan pasukan bagi membuat perancangan semula.

"Semangat saya masih membara, kemahuan masih tinggi dan saya juga tidak berdepan dengan sebarang isu fizikal. Tetapi seperti yang saya katakan, kami akan buat perancangan semula," katanya.





Azizulhasni memaklumkan yang dia mahu meluangkan masanya di Dungun, Terengganu bagi bertemu bapanya, Awang @ Muda Embong, 72, yang dilaporkan menghidap penyakit angin ahmar sebaik tamat tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

"Perkara pertama yang saya mahu lakukan selepas kuarantin adalah melawat bapa saya yang kurang sihat dan ibu saya," katanya.