Bek kanan Perak, Amirul Azhan Aznan, meminta untuk direhatkan dalam perlawanan Liga Super dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Ia kerana dia tidak mahu mengambil sebarang risiko terhadap kecederaannya.

Azhan ketika dihubungi berkata dia sudah meminta direhatkan untuk pertemuan dengan skuad Penyu itu.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih (Mehmet Durakovic) mengenai kedudukan saya dalam perlawanan dengan TFC.

"Dia bersetuju supaya saya berehat agar dapat pulih sepenuhnya.

"Insya-Allah saya akan pulih untuk perlawanan dengan Petaling Jaya City pada 9 Mac nanti," katanya.

Menurut pemain kebangsaan itu, otot pahanya sudah mula berasa tegang semasa pertemuan dengan Ulsan Hyundai dalam pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Korea Selatan minggu lalu.

Walaupun dalam keadaan demam, dia tetap beraksi dalam perlawanan itu.

Cuaca sejuk di Korea serta perjalanan jauh dengan pesawat dan bas untuk pulang ke Ipoh menambah buruk keadaan kesihatannya.

Menurutnya, pemain Perak sememangnya keletihan ketika turun menentang Felda United di Ipoh, Sabtu lalu.

"Perjalanan jauh itu menyebabkan kami keletihan serta menjejaskan persembahan pasukan.

"Saya yakin akan ada kebangkitan, terutama apabila kami berjaya menamatkan kemarau jaringan yang sedang melanda pasukan ini.

"Kami banyak mencipta peluang tetapi tiada penyudah. Itulah masalah kami," katanya.