Penjaring hatrik Pahang ketika menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 dalam suku akhir kedua Piala FA malam tadi, Patrick Cruz, menyifatkan Nor Azam Azih dan R. Kogileswaran, memainkan peranan penting menjana kemenangan skuad Tok Gajah.

Pemain kelahiran Brazil itu mengakui aksi luar biasa dua tonggak muda itu turut membolehkannya beraksi cemerlang.

Bagi Cruz, Nor Azam mengendalikan jentera tengah dengan baik tatkala Kogileswaran kini semakin matang sejak bersama skuad senior negara.

"Pada pendapat saya, Azam adalah pemain terbaik perlawanan ini kerana dia membantu pasukan ketika bertahan serta menyerang sepanjang perlawanan," kata Cruz.

"Bagi Kogileswaran pula, permainannya semakin matang dan penuh keyakinan. Dia menjaringkan gol yang cantik ketika bertemu Kuala Lumpur dan ia menjadi pendorongnya."

Dalam masa sama, pengendali pasukan, Dollah Salleh, menyifatkan kemampuan anak buahnya memberikan tekanan awal kepada barisan JDT menyukarkan jentera tengah lawan berfungsi dengan baik.

Dollah turut menegaskan walaupun sesetengah pemain tidak cergas sepenuhnya, Pahang tidak bermain secara bertahan.

"Kami telah meletakkan pendekatan untuk menyerang kerana jika memilih untuk bertahan, ia akan menghukum kami," kata Dollah.

"Bertahan bukan prinsip saya."

Imej: Asiana