Ivan Perisic adalah sasaran perpindahan Manchester United, ia disahkan pengarah Inter Milan, Piero Ausilio.

United dikaitkan dengan perpindahan pemain antarabangsa Croatia itu, dengan Chelsea juga dilaporkan mempertimbangkan tawaran tetapi Ausilio berkata Inter belum menerima sebarang tawaran daripada juara Liga Europa itu.

Perisic meledak gol ke-11 dalam Serie A pada musim ini ketika Inter melayan kunjungan Udinese pada hari terakhir dan Ausilio berminat untuk mengekalkan pemain berusia 28 tahun itu di San Siro.

"United belum membuat tawaran rasmi bagi Perisic tetapi mereka ada berminat," kata Ausilio kepada Premium Sports, hari ini.

"Kami mahu meningkatkan prestasi Inter dan ini sebab mengapa kami tidak mempunyai pemain untuk dijual atau pemain tidak boleh dijual pada masa ini.

"Kami tahu bahawa kami sudah mempunyai ramai pemain penting dalam senarai seperti Perisic dan sebelum kami membuat keputusan untuk menjualnya, kami perlu fikir tentang apa yang terbaik untuk Inter.

"Bagi saya, kami mempunyai skuad yang baik atau mungkin juga skuad yang lebih baik daripada kebanyakan pasukan yang menamatkan saingan di depan kami.

"Kami tidak perlukan ramai, kami pasti akan membuat beberapa perpindahan tetapi kami akan bertemu jurulatih terlebih dahulu untuk melihat apa yang dia mahu. "

Kelab belum melantik jurulatih baru selepas pemecatan Stefano Pioli dengan jurulatih Roma, Luciano Spalletti, dilaporkan mendahului senarai calon tetapi Ausilio berkata masih tiada keputusan dibuat.

"Inter akan mempunyai jurulatih baru -- ini yang pasti," kata pengarah itu. "Perhubungan akan dimulakan semula esok seperti kami tahu apa yang kami perlu lakukan."