Akibat melakukan kesalahan kerana menyerang pegawai polis, pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Serge Aurier, dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan oleh sebuah mahkamah di Paris.

Pemain berusia 23 tahun itu, bagaimanapun, akan terlepas menjalani hukuman penjara kerana dia telah membuat rayuan disebabkan ia adalah hukuman yang kurang daripada setahun.

Aurier telah disenaraikan oleh jurulatih, Unai Emery, untuk menyertai PSG bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Ludogorets di Bulgaria.

Insiden tersebut berlaku pada 30 Mei lalu di luar sebuah kelab malam di Paris apabila dia ditangkap dan diletakkan di bawah tahanan polis.

Sesi pendengaran di mahkamah diberitahu pemain bola sepak itu enggan memberikan kerjasama apabila diminta polis untuk mengalihkan kereta mewah Porsche Cayenne miliknya kerana berada di tempat yang tidak dibenarkan.

Polis yang terlibat memberitahu situasi menjadi tegang apabila Aurier menyiku seorang daripada pegawai di bahagian dada.

"Pemandu kenderaan (Porsche) itu terus keluar dan meminta maaf, namun penumpang bahagian depan (Aurier) enggan menghulurkan tangannya," kata pegawai polis itu kepada mahkamah.

Dia berkata dia terpaksa memegang Aurier untuk memaksanya keluar daripada kereta dan ketika itu juga pemain itu menyikunya. Aurier menafikan tuduhan itu dan dibenarkan untuk meninggalkan mahkamah.

"Kelab akan menelitinya. Satu rayuan sudah dibuat pada penghujung perbicaraan oleh peguam pemain," kata PSG dalam satu kenyataan.

Aurier kemudian menggunakan laman Twitter dan meluahkan "keyakinan dalam keadilan" dan dia akan menunggu "rayuan... bagi menyuarakan dirinya sekali lagi" dan mengatakan dirinya sebagai mangsa keganasan dan sudah memfailkan aduan terhadap pihak polis.

Disebabkan kurangnya penyesalan, mahkamah melangkaui permintaan pihak pendakwa dan menjatuhkan hukuman dua bulan penjara atau bersama khidmat masyarakat.

Hukuman itu turut mengambil kira empat sabitan kes terdahulu Aurier yang didapati bersalah kerana memandu tanpa lesen. Mahkamah juga memerintahkan dia membayar EUR600 (RM2,790) sebagai ganti rugi dan faedah serta EUR1,500 (RM6,977) sebagai kos mahkamah.