Pierre-Emerick Aubameyang melahirkan keyakinan Gabon sudah menerima pengajaran daripada keputusan seri 1-1 dengan Guinea-Bissau dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila bakal berdepan Burkina Faso, hari ini.

Kedudukan Kumpulan A seimbang selepas perlawanan sulung membabitkan Burkina Faso dengan Cameroon turut berakhir seri 1-1.

Aubameyang yang menjaringkan gol sulungnya dalam edisi kali ini, dinafikan kemenangan mutlak selepas mereka membenarkan Juary Soares mengikat kedudukan pada masa kecederaan.

"Kami sudah belajar daripada kesilapan kami," kata ketua pasukan itu.

"Saya positif kami mampu mara ke pusingan kalah mati.

"Kami mempunyai cita-cita tinggi dalam kejohanan ini dan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri adalah satu kelebihan hebat.

"Kami membuat kesilapan ketika berdepan Guinea-Bissau dengan melepaskan gol di penghujung perlawanan. Kami perlu mengatasi kesilapan itu dan menewaskan Burkina Faso."

Pada 2015, Gabon menundukkan Burkino Faso 2-0 dalam saingan peringkat kumpulan -- dengan Aubameyang menyumbangkan gol pertama -- selain mungkin mengundang jurulatih lawan, Paulo Duarte, untuk melunaskan dendam.

Duarte dipecat oleh Gabon selepas kegagalan layak ke AFCON 2013 dan Piala Dunia 2014.

"Kami mempunyai kumpulan pemain yang bagus dan keseimbangan dalam pasukan," kata Duarte.

"(Namun) ramai pemain yang mengalami kecederaan.

"Burkina Faso tidak mempunyai pemain yang beraksi dalam liga utama Eropah. Kami perlu menyusun pemain dalam keadaan pincang ini."