Pierre-Emerick Aubameyang sah menyertai Barcelona selepas dilepaskan Arsenal secara persetujuan bersama.

Aubameyang, yang kembali lebih awal daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) kerana kebimbangan masalah jantung bulan lalu, tidak pernah beraksi buat Arsenal sejak 6 Disember lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu dilucutkan jawatan kapten gara-gara masalah disiplin dan tidak pernah diturunkan oleh pengurus, Mikel Arteta, sejak peristiwa itu.

Kelmarin, Arsenal mengesahkan bahawa kontrak Aubameyang bersama mereka telah dibatalkan dan penyerang itu kini sah menyertai Barca.

Aubameyang bersetuju untuk mengikat kontrak bersama Barca sehingga 30 Jun 2025 dengan pilihan untuk menamatkannya lebih awal pada 30 Jun 2023.

Kontrak itu turut mengandungi klausa pembelian bernilai €100 juta (RM471.94 juta).

Sebagai rekod, ia merupakan pembelian ketiga Barca di bawah kendalian Xavi selepas mereka turut membawa masuk Ferran Torres daripada Manchester City dan Adama Traore secara pinjaman daripada Wolves.