Thomas Tuchel tiada bimbang terhadap sikap Pierre-Emerick Aubameyang, tetapi enggan membincangkan kemungkinan kembali bekerjasama dengan penyerang Barcelona itu di Chelsea.

The Blues telah dikaitkan dengan perpindahan Aubameyang selepas Tuchel mengakui bahawa mereka sedia mempertimbangkan pemain baru di bahagian serangan dan pertahanan.

Tuchel, bagaimanapun, enggan memperincikan ulasannya apabila ditanya mengenai tawaran terhadap Aubameyang mahupun pertahanan tengah Leicester City, Wesley Fofana, di sebalik mengakui pernah menikmati hubungan rapat dengan pemain sasaran itu .

Menurut pengurus itu dalam sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Tottenham, Ahad ini: "Saya sangat seronok bekerja dengannya. Ia adalah satu keseronokan.

"Ini tiada kaitan dengan situasi sekarang tetapi beberapa pemain kekal dalam senarai anda kerana anda sangat rapat. Auba merupakan salah seorang daripada kelompok ini.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat akrab. Kami kekal begitu ketika dia di sini mewakili Arsenal, sentiasa ada ikatan seperti ini. Mereka kekal sebagai pemain anda dalam apa jua cara, dan Auba adalah salah seorang daripadanya."




Aubameyang pula mempunyai hubungan keruh dengan Mikel Arteta di Arsenal yang mendorongnya berpindah ke Barca, Januari lalu – seperti yang diterbitkan dalam siri dokumentari 'All or Nothing Amazon' baru-baru ini.

Tetapi Tuchel ketika ditanya mengenai pengaruh 'toksik' Aubameyang menjelaskan: "Saya tidak mengalami semua ini.

"Ia tidak ada kena mengena dengan situasinya di Arsenal dan saya enggan mengulasnya demi menghormati mereka, bukan hak saya untuk mengulasnya. Saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Di Dortmund, kami tidak pernah ada isu."