Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo, memahami andai Antoine Griezmann dicemuh oleh penyokongnya sendiri selepas kembali daripada gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pemain antarabangsa Perancis itu melengkapkan perpindahan mengejut kembali ke pangkuan Atleti, minggu ini, menerusi pinjaman sepanjang musim dengan pilihan untuk melanjutkan perjanjian itu semusim lagi, hanya dua tahun selepas berhijrah ke sana.

Pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain kegemaran peminat selepas menyerlah selama lima musim sebelum angkat kaki dengan perpindahan bernilai €120 juta (RM591.3j) selepas menyumbangkan 94 gol dalam 180 penampilan LaLiga.

Namun, ramai peminat Atleti tidak berpuas hati dengan cara perpindahannya pada 2019, setahun selepas berikrar akan mendedikasikan masa depannya ke kelab itu dalam sebuah dokumentari mini.

Kesepakatan itu juga membawa kontroversi lebih lanjut apabila Atleti menegaskan Barca masih lagi berhutang sebanyak €80j (RM331.7j) sekalipun pinjaman berkenaan diteruskan.

Dengan Griezmann kini kembali di Wanda Metropolitano, Cerezo berharap penyokong Atleti dapat memberikan sokongan penuh kepada bekas wira mereka itu.

Ditanya mengenai kemungkinan peminat mengejek Griezmann ketika dia kembali menyarung jersi Atletico, Cerezo berkata kepada Cadena SER: "Saya dapat memahami hal itu.

"Tetapi apa yang ingin saya katakan, kami tidak akan memperoleh faedah daripada tindakan itu. Ketika dia berpindah, apa yang saya boleh katakan adalah Barcelona tidak akan menunjukkan rasa cinta mereka sama seperti di sini.

"Dia pergi dengan cara yang aneh tetapi dia telah menunjukkan bahawa dia tidak sabar untuk kembali ke Atletico Madrid.

"Ada peminat yang tidak akan menggemarinya tetapi akan ada juga yang gembira dengan kepulangannya dan yang paling penting adalah persembahan serta memiliki skuad terbaik."





Griezmann beraksi 51 kali sepanjang 2020-21 dengan menghasilkan 20 gol dan 12 bantuan jaringan, tetapi masih dilepaskan kelab Catalunya itu berikutan kewangan meruncing sementara Atletico pula bertindak meminjamkan Saul Niguez ke Chelsea.

"Ini adalah perjanjian tiga arah dan kami beruntung mendapatkan Griezmann untuk dua tahun ke depan," tambah Cerezo.

"Kami tidak memancing Griezmann kerana merancang melepaskan Saul."

Griezmann tampil dalam ketiga perlawanan LaLiga bersama Barca bulan lalu tetapi gagal buntu menjaringkan sebarang gol atau mahupun mencipta peluang.