Ketua pasukan Atletico Madrid, Gabi, berharap penentuan gelaran Liga Europa menentang Marseille tidak akan menjadi final terakhir buat Antoine Griezmann bersama kelab itu tatkala spekulasi masa depannya hangat diperkatakan.

Atletico yang memburu kejuaraan Liga Europa ketiga bakal menghadapi Marseille di Lyon awal pagi esok di celah-celah laporan yang mengaitkan Griezmann dengan juara Sepanyol, Barcelona.

Pemain antarabangsa Perancis itu -- yang memilih untuk kekal di Madrid pada musim ini ini meskipun minat mendalam ditunjukkan Manchester United -- kini menjadi sasaran utama Barca.

Dengan itu, pemain tengah veteran, Gabi, berharap penggempur berusia 27 tahun itu tetap berada di Atletico selepas kempen Liga Europa musim ini.

"Kita telah bercakap mengenai Antoine (Griezmann) sepanjang tahun ini," kata Gabi kepada wartawan. "Dia baik-baik saja.

"Saya melihatnya dalam keadaan sangat baik, secara fizikalnya sangat baik, fokus dalam permainan kerana cukup penting baginya untuk memenangi gelaran.

"Dengan tahap sepertinya, dia hanya mahu memenangi gelaran.

"Saya harap ia tidak akan menjadi perlawanan terakhirnya bersama Atletico kerana kami memerlukannya dan dia tahu bahawa kami mahu dia kekal," katanya.

Griezmann meledak 27 gol dalam 47 penampilan bersama Atletico musim ini.