Pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, mampu menggunakan kesempatan ke atas Barcelona dan Real Madrid dalam persaingan takhta bagi musim 2019-20, menurut Diego Forlan.

Menjelang aksi perlawanan antarabangsa pertama bagi musim ini, Atletico merupakan satu-satunya kelab LaLiga yang masih lagi kekal dengan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan.

Walaupun kehilangan khidmat bintang, Antoine Griezmann yang berhijrah ke Nou Camp bersama Barcelona, kapten pasukan, Diego Godin ke Inter secara percuma, Rojiblancos kelihatan ampuh di bawah pimpinan Diego Simeone.

Kehadiran Joao Felix daripada Benfica memberikan kesegaran dalam jentera serangan Atletico dan bekas penyerang pasukan itu, Forlan, yakin kejuaraan liga dalam sasaran mereka.

"Ya, kami harus melihat terlebih dahulu," kata Forlan mengenai peluang Atletico muncul juara kepada laman web LaLiga.

"Saya menyedari Real Madrid dan Barcelona memiliki barisan pemain yang berkualiti dan kini Atletico juga sama.

"Mereka telah menandatangani pemain yang berkualiti, Joao Felix dan Diego Costa merupakan penyerang yang berpengalaman.

"Mereka mengharungi pramusim yang cemerlang pada permulaan saingan liga. Atletico membuktikan mereka mampu bersaing dengan Barca dan Real.

"Persaingan merebut gelaran liga akan hadir. Namun, jurang antara pasukan semakin kecil.

"Pemain-pemain yang mencipta sejarah buat Real Madrid dan Barcelona, mereka semakin berusia dan ini merupakan kelebihan buat Atletico. Peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk bergelar juara."

Atleti akan kembali beraksi berdepan Real Sociedad, 14 September ini, sebelum menerima kunjungan Juventus empat hari kemudian untuk permulaan kempen Liga Juara-Juara (UCL).