Atletico Madrid tidak mendedahkan sepenuhnya kecederaan paha yang dialami Jose Gimenez ketika berdepan Bayern Munich namun laporan telah mencadangkan pemain itu tidak akan beraksi lagi untuk tahun ini.

Pertahanan tengah itu digantikan pada minit ke-68 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) semalam, sebelum Bayern memperoleh sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 1-1 di Wanda Metropolitano.

Gimenez telah menjalani imbasan dan kelab LaLiga mengesahkan kecederaan paha, namun tarikh buat pemain itu kembali beraksi tidak didedahkan.

Bagaimanapun, media Sepanyol tela mencadangkan pemain kebangsaan Uruguay itu dijangka terlepas baki saingan pada bulan ini.

Atleti bakal berdepan Real Valladolid selepas ini di laman sendiri bagi saingan LaLiga, diikuti dengan pertembungan dengna Real Madrid 12 Disember ini.

Antara dua perlawanan liga itu mereka perlu menghadapi saingan Liga Juara-Juara bertemu Salzburg, di mana mereka perlu mengelak daripada kekalahan di Austria bagi memastikan kelayakan ke peringkat kalah mati.

Gimenez telah bermain tujuh perlawanan setakat ini, terlepas peringkat awal selepas positif coronavirus.