Diego Simeone bimbang prestasi Atletico Madrid yang semakin merudum dan terpaksa bekerja keras untuk menamatkan saingan LaLiga dalam kelompok empat terbaik.

Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga sebanyak tiga kali dan menjulang gelaran LaLiga dalam empat musim ini, Atletico berdepan cabaran untuk merebut slot beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Atletico gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila gagal ke final Copa del Rey ketika seri 1-1 dengan Barcelona, menyaksikan mereka tewas 3-2 secara agregat.

"Kami gagal mengekalkan rentak permainan kami dan pasukan lawan telah memperbaiki keputusan mereka, jadi kami perlu mengejar dan bekerja keras untuk mencapai sasaran musim ini," jelas Simeone.

"Real Madrid memiliki musim yang baik, Villarreal memberikan tentangan seperti biasa dan Sevilla memberikan tumpuan kepada aksi liga berbanding kejohanan-kejohanan lain.

"Saya sangat gembira kerana kami memiliki pemain-pemain yang bebas daripada kecederaan untuk menghadapi baki musim ini, hanya Augusto Fernandez dan Tiago yang akan kembali pulih beraksi minggu hadapan."