ATLETICO 2 REAL SOCIEDAD 0

Diego Simeone sedar Atletico Madrid harus mencipta kemenangan apabila pendahulu LaLiga itu semakin menghampiri gelaran selepas mengalahkan Real Sociedad.


Selepas Barcelona tercicir mata, semalam, Atletico memastikan mata penuh dalam misi memburu gelaran juara liga kedua di bawah bimbingan Simeone selepas melakar kemenangan 2-1 di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Yannick Carrasco dan Angel Correa meletakkan Atletico di kedudukan selesa dalam separuh masa pertama.

Carrasco telah terlibat dalam 14 gol LaLiga musim ini (enam gol dan lapan bantuan jaringan), menyamai rekodnya dalam kempen sama (14 pada 2016-17 -- 10 gol, empat bantuan jaringan).

Seteru tersebut cuba merapatkan jurang pada lewat permainan menerusi Igor Zubeldia tetapi kelebihan itu sudah cukup untuk Atletico mengukuhkan kedudukan di puncak dengan empat mata sambil berbaki dua perlawanan.

Begitupun, musuh ketat dari ibu kota Sepanyol, Real Madrid, mungkin kembali menghambat mereka dengan dua mata sekiranya menewaskan Granada, awal pagi esok.



"Kami sedar kami harus menang," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Kami berada di depan ketika menentang pasukan yang mampu melakukan sesuatu dengan baik terutama di kandang lawan.

"Babak pertama cukup bagus, kami mendahului 2-0, kami mempunyai peluang yang cukup untuk melebarkan kelebihan. Hingga minit ke-25 separuh masa kedua, corak permainan adalah terbuka dan pada akhir musim ini, kemenangan menjadi sangat penting. Apatah lagi kami dicemaskan dengan gol lawan dalam beberapa minit terakhir perlawanan.

"Kami mempunyai tanggapan bahawa kami akan menderita dalam beberapa minit terakhir kerana keinginan Sociedad untuk mencuba dan mendapat keputusan seri."

Ini adalah kali ketiga dalam sejarah Atleti meraih 80 mata atau lebih selepas 36 perlawanan LaLiga selepas 2013-14 (88) dan 2015-16 (85).

Atletico belum tumbang dalam 19 perlawanan terakhir liga yang diadakan pada pertengahan minggu (W15 D4) sejak tumpas kepada Madrid pada April 2012.

"Kami memerlukan rehat. Kami semua dalam musim yang sangat sulit dan akhirnya akan menjadi sangat sukar atas semua yang berlaku di sekeliling kita sebagai manusia," tambahnya.

"Kami memulakan kempen kali ini terlalu cepat dan anda semua tahu itu dan semua pasukan harus menanganinya. Kami tidak terkecuali.

"Kami mempunyai dua perlawanan lagi dan kami akan menghadapinya dengan cara yang sama seperti yang lain, permainan demi permainan.

"Ahad ini (awal pagi Isnin) akan menjadi perlawanan yang sangat penting bagi kami kerana menyedari ia akan menjadi perlawanan yang sangat penting bagi menentukan kedudukan LaLiga."



Koke membuat penampilan ke-500 buat Atleti untuk muncul pemain kedua yang mencapai angka itu dalam sejarah kelab selepas Adelardo Rodriguez (550).

"Kami mempunyai dua perlawanan lagi, ia adalah segala-galanya," kata Koke.

"Liga ini sangat sengit dalam lima perlawanan terakhir ini, kami selalu mengatakannya.

"Semua pasukan kehilangan mata, perlawanan ini ibarat final buat kami, kami memenangi yang satu ini kemudian kami akan menghadapi satu lagi final yang kami berhajat memenangi.

"Kami Atleti, jika kami tidak menderita, itu bukan kami. Terima kasih kepada peminat yang datang ke luar stadium dan mereka yang tidak dapat meraikannya. Anda memerlukan penyokong sebagai dorongan seperti yang kami lakukan dalam 10 minit terakhir, kami dapat mendengarnya dari dalam. Kami bersyukur."