Atletico Madrid menolak tawaran bernilai £78 juta (RM413.8j) daripada Manchester City yang mengidamkan sentuhan Jose Gimenez, demikian tegas presiden kelab LaLiga itu, Enrique Cerezo.

Pertahanan beruusia 25 itu dikaitkan dengan perpindahan ke City dan awal bulan ini AS melaporkan bahawa Atletico telah menolak tawaran lumayan daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Cerezo mengesahkan pasukan gergasi LaLiga itu ada menerima tawaran City, tetapi berhasrat untuk mengekalkan pertahanan tersebut -- yang dikesan positif COVID-19 semalam -- di Wanda Metropolitano.

"Kami sememangnya ada menerima tawaran itu," katanya kepada El Transistor.

"Tetapi Gimenez merupakan taruhan utama dan kami berhasrat untuk mengekalkan pemain yang hebat dalam pasukan ini."

Selepas menduduki tangga ketiga LaLiga musim lalu, pasukan ibu kota Sepanyol itu -- yang baru mengikat bintang Barcelona, ​​Luis Suarez -- akan memulakan kempen baru mereka berdepan Granada di laman sendiri, Ahad ini.




Walaupun perlawanan musim akan diadakan di gelanggang tertutup ekoran ancaman pandemik itu, Cerezo berharap peminat boleh kembali ke stadium dengan segera.

"Kami berharap orang ramai akan dibenarkan ke stadium semula sebelum akhir musim ini," katanya.

"Ia adalah masalah yang sukar untuk ditangani tetapi saya fikir dengan kawalan yang kami miliki dan dengan tingkah laku dunia bola sepak yang baik, kami boleh meneruskan kempen ini dengan baik."