Di atas kertas, Sang Badak mungkin menjadi pilihan untuk menewaskan Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC), seterusnya layak ke suku akhir dalam saingan Piala FA, musim ini.

Bagaimanapun, perlawanan pusingan ketiga yang bakal berlangsung di Stadium Likas, malam ini, itu mungkin menjadi satu lagi dugaan buat skuad kendalian Steve Vilmiaire berikutan prestasi hambar mereka dalam saingan liga, setakat ini.

Kelebihan selaku tuan rumah selain mendapat khidmat pemain import juga tidak menjamin Sabah untuk menang mudah terhadap MOF FC, ianya terbukti apabila pasukan negeri di bawah bayu itu hanya menang tipis 1-0 terhadap sebuah lagi pasukan 'devisyen tiga' negara, UKM FC dalam aksi pusingan kedua di Likas, bulan lalu.

Ketika dihubungi, Steve turut mengesahkan tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya, malam esok, berikutan kecederaan yang dialami beberapa pemain termasuk penyerang import, Jonathan Behe.

Selain Behe, Steve berkata pemain lain yang tidak dapat diturunkan untuk perlawanan itu juga ialah Azzizan Nordin, Radzi Mohd Hussin serta penjaga gol Robson Rendy Rining yang mengalami kecederaan teruk dalam aksi liga, baru-baru ini.

Rendy, 24, yang baru diberi peluang sebagai penjaga gol nombor satu Sabah menggantikan Rozaimie Rohim, sebelum ini, terpaksa menjalani pembedahan di bahagian muka selepas tulang di bahagian bawah matanya retak akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan ketika aksi liga bertemu UiTM FC di Stadium Likas pada 28 Februari lalu.

"Kita masih belum dapat pastikan berapa lama Rendy akan direhatkan, mungkin tiga minggu atau lebih.

"Azzizan juga sebenarnya telah kembali bersama pasukan dan kini sedang menjalani proses pemulihan, kita harap beliau akan kembali pada aksi suku akhir (Piala FA) sekiranya layak nanti," katanya.

Tambah Steve, empat pemain yang cedera itu juga dijangka terlepas aksi bertemu MISC-MIFA dalam aksi liga di gelanggang lawan, Rabu depan.

"Kita tidak mahu mereka beraksi dengan segera dan selepas itu cedera kembali, walaupun mereka tonggak utama dan kita perlukan mereka, namun, kita juga perlu jaga kesihatan mereka kerana musim masih panjang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabah juga bakal beraksi tanpa kelibat Steve di tepi padang selepas jurulatih berusia 32 tahun itu diarah keluar padang ketika aksi bertemu UKM FC.