Skuad bola sepak wanita negara bakal turun dengan kesebelasan terbaik mereka dalam aksi persahabatan bertemu Singapura di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, esok.

Jurulatihnya, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata perlawanan itu adalah aksi pemanas badan terakhir sebelum menghadapi saingan sebenar dalam Sukan SEA pertengahan bulan ini.

"Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik pada separuh masa pertama tetapi saya juga akan melakukan pertukaran pada babak kedua bagi menguji enam pemain baru.

"Kami juga akan beraksi dengan taktikal menyerang kerana kami mahukan kemenangan dalam perlawanan ini bagi menaikkan moral dan semangat pemain sebelum aksi sebenar dalam Sukan SEA," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asyraaf berkata segala kelemahan yang dikenal pasti sebelum ini telah diperbaiki dalam sesi latihan dan dia berharap ia akan diterjemahkan oleh pemain di atas padang.

"Antara kelemahan kami ialah ketika bertahan dan kami juga telah mempertingkatkan keyakinan menyerang yang lebih efektif.

"Saya harap pemain akan lebih yakin serta membuktikan kebolehan mereka (bertemu Singapura) esok," katanya.

Dia berkata pemain yang dijangka diturunkan sebagai kesebelasan utama malam esok ialah Nurul Azurin, Malini Nordin, Uslizah Usman, Eslilah Esar, Masturah Majid, Nurathirah Mamat, Haindee Mosroh, Dadree Rofinus, Shereilynn Pius, Nurhaniza Saarani dan JI Fedaliah

Malaysia yang menyasarkan pingat gangsa akan berdepan dengan lawan yang berada di ranking lebih tinggi dalam Sukan SEA nanti, iaitu Thailand yang berada di ranking 29, Vietnam (32), Myanmar (45) dan Filipina (71).

Malaysia akan memulakan cabaran Sukan SEA menentang Filipina pada 15 Ogos, diikuti Myanmar (17 Ogos), Thailand (20 Ogos) dan Vietnam (24 Ogos).

Ini adalah tugasan pertama Asyraaf yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita dalam saingan Sukan SEA.

Skuad bola sepak wanita kebangsaan dibarisi ramai pemain Sabah dan telah menjalani tiga fasa latihan yang berpangkalan di UMS bermula perghujung tahun lalu sebelum beralih ke Jeonsa Majlis Sukan Negara (MSN) Kuala Lumpur untuk fasa akhir bermula 3 Julai lalu.