Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pemegang hak penyiaran bersama bagi kesemua empat perlawanan skuad kebangsaan di gelanggang sendiri bagi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan G, akan mengharungi lapan perlawanan secara keseluruhan, bermula dengan aksi sulung bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta esok, dan disudahi dengan aksi terakhir berdepan Thailand di Bangkok, 9 Jun tahun depan.

Sepanjang tempoh sembilan bulan itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe itu akan beraksi empat kali di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10 September depan, Thailand (14 November), Indonesia (19 November) dan Vietnam (31 Mac 2020).

Keempat-empat perlawanan di gelanggang sendiri itu akan disiarkan secara langsung di Astro menerusi saluran Astro Arena 801 & 802 HD dan di RTM menerusi saluran TV1 dan RTM HD Sports.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan media hari ini berkata pemilihan Astro dan RTM dan adalah untuk memastikan aksi skuad kebangsaan dapat ditonton oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

"Siaran langsung perlawanan skuad Harimau Malaya ini boleh ditonton di saluran televisyen percuma (RTM) atau di saluran berbayar (Astro). Tiada sebab untuk mereka tidak dapat menonton siaran langsung.

"Jadi, besarlah harapan saya supaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat, bersama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya kita demi memastikan keputusan positif dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berharap dengan RTM turut berperanan selaku penyiar rasmi pusingan kelayakan itu, ia dapat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia, terutama yang tidak melanggan saluran televisyen berbayar.

"Selama ini, kita sering mendengar permintaan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia yang mahukan RTM turut menyiarkan siaran langsung perlawanan membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

"Dengan kerjasama dengan FAM kali ini, saya cukup bangga kerana apa yang diminta oleh rakyat Malaysia itu telah direalisasikan. Bola sepak adalah untuk semua dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menonton perlawanan secara langsung itu nanti," kata Gobind dalam kenyataan yang sama.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay, turut menyatakan komitmen berterusan Astro kepada bola sepak Malaysia, khususnya kepada skuad kebangsaan, dengan siaran langsung perlawanan serta penerbitan program berkaitan yang diharap dapat menaikkan semangat peminat dan pemain sendiri.

"Sudah tentu Astro gembira kerana sekali lagi diberi hak penyiaran untuk kempen kelayakan kali ini. Kami akan pastikan semangat dan cabaran skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan G ini bukan sahaja disaksikan secara langsung tetapi penerbitan program yang bakal menyediakan nilai tambah bagi memperkukuhkan lagi sokongan peminat kepada pasukan negara," katanya dalam kenyataan tersebut.

-- BERNAMA