Pelanggan Astro Sports Pack bakal menikmati tiga saluran sukan baru -- Astro Supersport 5, Astro Arena 2 dan SPOTV yang berpangkalan di Korea Selatan -- mulai 1 Oktober 2021.

Astro Supersport 5 (CH815) akan menyajikan beberapa acara sukan global terkenal seperti UFC, Formula 1, Bundesliga, Jelajah ATP dan banyak lagi, sementara peminat sukan juga akan terus menikmati kejohanan seperti MotoGP, Tenis Wimbledon serta Terbuka Amerika Syarikat di SPOTV (CH816).

Astro Arena 2 (CH802) pula akan menampilkan liputan dan berita terkini sukan antarabangsa dalam versi tempatan serta sukan di Malaysia termasuk ulasan siaran langsung WWE, BWF selain banyak lagi format baru ditawarkan buat peminat muda.

Seperti mana saluran pertama Astro Arena, ia juga boleh didapati dalam Family Pack untuk dinikmati pelanggan Astro.

Ketiga-tiga saluran baru ini boleh didapati tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan.

Sementara itu, saluran FOX Sports, FOX Sports 2 and FOX Sports 3 akan berakhir pada 30 September 2021 yang menjadi salah satu daripada strategi Disney di wilayah ini.





Selain itu, Astro akan memperkasakan kandungannya dengan menawarkan saluran baru menerusi Family, Movies, Variety and Learning Packs termasuk HBO Family, HBO Hits, SHOWCASE MOVIES, BBC Lifestyle, BBC Earth, Paramount Network, Lifetime dan PRIMEtime bermula 15 September 2021.

Sebagai tambahan, On Demand akan menghubungkan pelanggannya menerusi dua lagi liputan BBC iaitu BBC First dan BBC Brit yang akan menawarkan lebih banyak kepuasan drama TV dan pelbagai program lain bermula pertengahan bulan depan.




"Astro dalam usaha mengukuhkan lagi penawaran produk dan pengalaman buat pelanggan kami. Untuk tujuan ini, memberi kesegaran kepada kandungan kami demi memastikan kami terus menawarkan pilihan yang lebih luas bagi memenuhi pelbagai keperluan hiburan dan maklumat buat pelanggan kami, kami meneruskan objektif untuk menggembirakan mereka," kata Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad.

"Seiring dengan perubahan pilihan semasa dan kehendak pengguna, ditambah pula dengan hasrat kami untuk memperluaskan penawaran kandungan, kami dengan berbesar hati mempersembahkan barisan saluran baru dengan sejumlah rancangan terbaik dan sangat dinantikan.

"Bagi memenuhi permintaan dunia streaming yang semakin meningkat, kami mendorong pelanggan kami supaya mendaftar untuk menikmati banyak kandungan yang tersedia di aplikasi kami menerusi Astro GO, HBO GO, iQIYI, Disney+ Hotstar dan yang terbaru, TVB Anywhere+.

"Sebagai sebahagian daripada perjalanan berterusan kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, kami berharap dapat menawarkan lebih banyak pilihan, nilai dan fleksibiliti dalam pakej demi pelanggan kami."

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Astro.