Penyerang Celta Vigo, Iago Aspas, mahu bersama kelabnya selama yang boleh walaupun dia mendakwa wujud minat daripada gergasi LaLiga, Real Madrid dan Atletico Madrid, terhadapnya.

Sejak melakukan tiga penampilan dan menjaringkan satu gol buat Sepanyol dalam Piala Dunia di Russia, Aspas meraih permulaan hebat di peringkat domestik apabila menyumbat dua gol dalam empat perlawanan liga buat Celta.

Bekas pemain Liverpool itu menjadi sasaran utama beberapa kelab elit Eropah ketika jendela perpindahan dibuka susulan kecemerlangan menjaringkan 22 gol musim lalu.

Namun, dia memberitahu Radio Marca bahawa dia tidak bercadang untuk meninggalkan kelab yang menjadi destinasi pertamanya 10 tahun lalu, ketika Celta berada dalam liga divisyen dua Sepanyol.

"Secara peribadi, saya tidak mengintai peluang ke kelab lain. Memang benar beberapa kelab menunjukkan minat selepas memberitahu abang dan ejen saya," katanya.

"Saya sentiasa berlaku jujur. Sesiapa yang berminat perlu mendapatkan persetujuan Celta terlebih dahulu sebelum cuba menarik minat saya.

"Terdapat beberapa kelab penting yang menyatakan minat, termasuk Real Madrid dan Atletico Madrid, sama seperti apa yang dinyatakan oleh pihak media.

"Pihak kelab tidak memberitahu saya apa-apa. Saya rasa mereka berbincang tetapi tiada sebarang kata sepakat."

Aspas kini memiliki baki kontrak empat tahun selepas menandatanganinya pada April 2017, sekali gus bakal menyaksikannya kekal bersama Celta sehingga 2022.

"Saya sentiasa melihat diri saya bersama Celta selama yang boleh.

"Sebab itu saya menandatangani kontrak baru.

"Saya berharap dapat berbincang dengan kelab pada masa akan datang dan terus bersama pasukan selama yang boleh."