Berdasarkan tahap persembahan dan tahap keyakinan yang ditunjukkan oleh Ashley Young dalam perlawanan berhadapan Brighton dan Crystal Palace, tidak terkejut untuk kita meramalkan bahawa Gerrard pasti akan terus mengutamakan kehadiran Young dalam kesebelasan utama beliau pada hari-hari akan datang.


Pemain yang sudah berusia 36 tahun ini, sudah beraksi dalam sekurang-kurangnya sebanyak 500 perlawanan dalam kerjaya bolasepak professional beliau. Kalau dulu kita boleh menyaksikan Young dan Gerrard bertarung tenaga di atas padang dalam jersi kelab masing-masing, kini Young sedia berkhidmat untuk bekas musuhnya dengan cukup cemerlang sekali.

Tidak banyak berbunyi di dalam 'dressing room', tidak pernah sekali dilaporkan merungut di laman media sosial atas kekurangan minit beraksi di atas padang, meskipun beliau merupakan antara salah seorang pemain cemerlang di Inter Milan pada musim lepas, di bawah naungan Antonio Conte dan sekaligus menolong pasukannya merangkul trofi Serie A.

Young hanya diberikan tugas untuk menggalas tanggungjawabnya sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Brighton selama 16 minit sebelum perlawanan itu berakhir. Tetapi Young tidak memerlukan masa lebih daripada 16 minit tersebut untuk membuktikan kepada Gerrard dan pasukan bahawa hakikatnya kehadirannya di atas padang mampu memberikan impak maksima dan positif terhadap corak permainan Aston Villa.

Kalau Dean Smith seringkali memainkan Young dalam posisi left-back, Gerrard kini menggunakan pendekatan inovatif dan segar dengan memberi Young peranan sebagai salah satu penyerang utama dalam perlawanan pertama diuruskan oleh Gerrard di Aston Villa. Keputusan ini sekaligus membuahkan hasil apabila Young mencorakkan 'gameplay' yang begitu mengujakan sekaligus menciptakan peluang untuk Ollie Watkins menemui gol pembukaan untuk kelab tersebut apabila mereka berhadapan dengan Brighton.

Dalam tempoh masa 16 minit ini juga, Young berjaya melengkapkan 11 dari 12 hantaran, memberhentikan satu serangan dari pihak lawan, dan menang kedua-dua pertarungan udara beliau di atas padang.



Gerrard tidak sesekali menafikan tahap keyakinan beliau terhadap Young dalam beberapa aspek. Dari segi tahap persembahan yang boleh dipertunjukkan Young di atas padang, karakter tegas beliau, kebolehan Young dari segi kepimpinan dan betapa ciri-ciri ini memainkan peranan yang sangat penting dan mustahak, yang diperlukan oleh Gerrard untuk wujud dalam apa-apa pasukan yang dipimpin beliau.

Antara perkara luar biasa tentang Young yang diakui Gerrard sendiri ialah, kebolehan pemain ini untuk mengadaptasikan permainan beliau dalam pelbagai posisi di atas padang, yang hakikatnya tidak terhad kepada posisi pertahanan sahaja. Young boleh digunapakai sebagai right-back, left-back, nombor 8, nombor 10 dan bermain di bahagian sayap luar. Pemain dengan kebolehan versatil ini yang membolehkan seseorang pengurus untuk menguruskan pasukannya dalam caranya tersendiri. Setiap pasukan memerlukan seorang figura seperti Young.

16 minit yang cemerlang tika beliau berhadapan dengan Brighton juga merupakan faktor utama beliau diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk berada dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Crystal Palace. Keputusan ini sekaligus membuahkan hasil untuk Gerrard apabila Young terlibat sekali lagi dalam penciptaan gol pertama oleh Aston Villa disumbangkan oleh Matt Target. Young kini memegang rekod sebagai seorang pemain yang telah menyumbang 'assist' paling banyak kepada jumlah gol dijaringkan oleh Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang zaman.

36 tahun, semakin hampir menuju penghujung kerjaya bolasepaknya, pemain yang tidak perlu banyak berbunyi, fokus Ashley Young hanya terletak pada satu perkara: untuk bermain permainan ini dengan sehabis baik, dalam apa jua posisi yang diberi.