Marco Asensio gembira apabila kerja kerasnya selama ini terbayar selepas mempamerkan kepulangan gemilang ketika Real Madrid menewaskan Valencia 3-0 dalam saingan LaLiga awal pagi tadi, biarpun baru pulih daripada kecederaan serius.

Turun buat kali pertama sejak mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) Julai lalu, Asensio menemui sasaran sebaik dimasukkan dari bangku simpanan sebelum membantu jaringan kedua Karim Benzema di Estadio Alfredo Di Stefano.

Asensio, 24, gembira kerana dapat kembali beraksi memandangkan ia merupakan penampilan kompetitif pertamanya sejak May tahun lalu.

"Saya benar-benar mahu kembali. Ia merupakan kerja keras selama berbulan-bulan," kata pemain tengah itu kepada Movistar.

"Saya amat gembira kerana dapat beraksi, untuk kelab ini dan untuk kemenangan ini."

Mengenai jaringannya, Asensio menambah: "Banyak keterujaan dan kepuasan kerana banyak kerja keras di sebalik ini. Saya berada pada fasa terakhir musim ini."

Asensio turut membantu Benzema menjaringkan gol kedua yang disudahkan dengan voli gemilang.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu memuji Benzema, yang kini menduduki tangga kelima dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid dengan 243 gol, mengatasi rekod Ferenc Puskas (242).

"Ia gol yang hebat. Dia melakukan kawalan yang baik dan secara keseluruhan, kami menghasilkan permainan yang baik," katanya.

Kemenangan Madrid menyaksikan mereka kini kembali merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu LaLiga, Barcelona, berbaki sembilan perlawanan.

"Kami mempunyai sembilan perlawanan yang perlu dimenangi.

"Kami kini sedang fokus untuk menghadapi Real Sociedad (Ahad ini), di mana ia adalah objektif di dalam minda kami," katanya lagi.